...tak secantik Balqis, tak setulus Zulaikha, tak sekuat Siti Hajar dan tak semulia Siti Khadijah...

Bersama air mata pasti ada senyuman. Bersama kesedihan ada kegembiraan. Bersama cubaan ada anugerah. Bersama musibah ada anugerah. Semuanya telah merupakan ketentuan yang pasti dan prinsip hidup yang digariskan Allah s.w.t.

Indahnya! Ukhwah Tercipta kerana Allah s.w.t, Jazakumullah Khairan Kathira

Khamis, 2 Jun 2011

Takut Kepada Allah S.W.T

Di samping kesanggupan menggadai nyawa untuk agama Allah s.w.t, para sahabat r.a juga mempunyai semangat mengorbankan diri, harta dan maruah untuk Islam. Namun demikian, perasaan takut dan gerun yang amat ketara terhadap Allah s.w.t tetap wujud dalam diri mereka. Semoga Allah s.w.t mengurniakan secebis daripada sifat-sifat mereka kepada kita yang berdosa ini. Sebagai contoh, beberapa kisah tentang sifat-sifat ketakwaan kepada Allah s.w.t.

Amalan Nabi s.a.w Ketika Ribut
Hazrat Aishah r.anha meriwayatkan bahawa apabila berlaku ribut dan taufan, akan zahir perubahan pada wajah Nabi s.a.w. Wajah Baginda s.a.w akan menjadi pucat. Baginda s.a.w akan berjalan keluar masuk dalam keadaan resah sambil membaca doa ini, ertinya:
"Ya Allah, aku memohon daripadaMu kebaikan angin ini dan kebaikan yang ada dalamnya dan kebaikan yang Engkau kirim dengannya dan aku berlindung denganMu daripada keburukan angin ini dan keburukan yang ada dalamnya dan keburukan yang Engkau kirim dengannya."
Apabila hujan mulai turun, kegembiraan mula kelihatan pada wajah Nabi s.a.w. Saya bertanya, "Wahai Rasul Allah, apabila melihat awan, semua orang akan bergembira kerana awan ialah tanda akan turun hujan, sebaliknya tuan kelihatan gelisah."

Baginda s.a.w bersabda, "Wahai Aishah, adakah aku boleh berasa yakin bahawa tidak ada azab bersama-sama angin itu? Kaum 'Ad telah diazab dengan perantaraan angin. Apabila mereka melihat awan, mereka bergembira lalu berkata, "Awan itu akan membawa hujan untuk kami. Sedangkan dalam angin itu ada azab." (Durrul Manthur)

Firman Allah s.w.t
"Maka apabila mereka melihat azab itu sebagai awan yang menghala ke lembah-lembah mereka, mereka berkata, 'Ini ialah awan yang membawa hujan kepada kita.' (Mendengarkan kata-kata yang demikian Nabi Hud a.s berkata) "Tidak, bahkan itulah (azab) yang kamu minta disegerakan iaitu azab yang tidak terperi sakitnya. Yang menghancurleburkan segala-galanya dengan izin Tuhannya." (Setelah azab itu menimpa mereka) maka mereka menjadi (punah-ranah) tidak ada yang kelihatan melainkan tempat-tempat tinggal mereka. Demikian Kami membalas kaum yang berdosa."
(al-Ahqaf : 24 & 25)

Keterangan
Inilah sifat takut kepada Allah s.w.t yang ada pada diri Rasulullah s.a.w. Walaupun daripada sabdaan Baginda s.a.w sendiri menunjukkan bahawa Baginda s.a.w ialah 'Saiyyidul-Awwalin-wal-Akhirin' (yang bermaksud penghulu semua orang yang terdahulu dan terkemudian). Dalam kitab suci al-Quran pun ada ayat yang mengatakan bahawa Allah s.w.t  tidak akan mengazab umat ini selagi Nabi Muhammad s.a.w ada bersama mereka. Sungguhpun Allah s.w.t telah berjanji sedemikian namun apabila Baginda s.a.w melihat awan hitam dan ribut, Baginda s.a.w masih teringatkan azab yang menimpa kaum yang terdahulu kerana ketakutan yang mendalam terhadap Allah s.w.t.

Berdasarkan kisah ini, marilah kita melihat keadaan diri kita sendiri. Meskipun hampir setiap masa kita terlibat dengan dosa, namun selepas melihat gempa bumi dan pelbagai macam azab yang lain, kita tidak pun terkesan dengan azab-azab itu. Kita juga tidak menyibukkan diri dengan taubat, istighfar dan solah tetapi sebaliknya kita menyibukkan diri dengan pelbagai kajian yang sia-sia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan