...tak secantik Balqis, tak setulus Zulaikha, tak sekuat Siti Hajar dan tak semulia Siti Khadijah...

Bersama air mata pasti ada senyuman. Bersama kesedihan ada kegembiraan. Bersama cubaan ada anugerah. Bersama musibah ada anugerah. Semuanya telah merupakan ketentuan yang pasti dan prinsip hidup yang digariskan Allah s.w.t.

Indahnya! Ukhwah Tercipta kerana Allah s.w.t, Jazakumullah Khairan Kathira

Sabtu, 30 April 2011

Mujahadah Cinta Pada Allah



sayang mungkin dicari
hati mungkin dipenuhi rasa cinta
rindu yang mula mencengkam jiwa
hanya menyebabkan perasaan sesak di dada
bersama gema selawat yang sangat indah pada Rasul
diiringi pula dengan ayat-ayat cinta kalam furqan
maka ku bermujahadah melawan hawa nafsu yang mula menjerat
tatkala suara indah itu terus berkumandang
memenuhi pendengaran dan relung kalbu hati hamba
bersama terus mengingat pada Pencipta
dengan bacaan indah diiringi makhraj huruf dengan cermat
memenuhi setiap hak sifat huruf hijaiyah
tak tergambar rasa yang melanda
tatkala perasaan yang mengiringi alunan itu

membawa pergi lamunanku
mencari Allah Yang Satu...

Jumaat, 29 April 2011

Man La Yarham, La Yurham

“Sesungguhnya kasih sayang itu cabang (penghubung) kepada Allah SWT. Barang siapa yang menyambungnya,maka Allah akan menyambung (kasih sayang-Nya) dengannya. Dan barang siapa yang memutuskannya, maka Allah akan memutus (kasih sayang-Nya) dengannya.” 
(HR. Bukhari)

Islam agama penuh dengan kasih sayang. Mewujudkan kasih sayang pada diri sendiri, serta memberikan kasih sayang kepada siapa dan apa yang ada disekeliling kita adalah ibadah. Dan itulah sebahagian dari sifat dan jati diri orang muslim.

Assalammualaikum Sahabat sekalian...

Artikel untuk kali ini saya membicarakan tentang KASIH SAYANG. Tengahari tadi, sementara menunggu masuknya waktu Zohor, saya ambil kesempatan melayari satu blog seorang teman tentang apa erti CINTA dan KASIH SAYANG dalam ISLAM. Hurmm…satu artikel yang menarik untuk kita kongsi bersama. So, saya harap sahabat semua luangkan sedikit masa membacanya dan semoga memberi manfaat buat kita semua, syukran jiddan…

Sebagaimana yang kita tahu, kasih sayang dan cinta adalah fitrah manusia yang normal yang dikurniakan oleh Allah SWT. Dalam Islam fitrah sedemikian mestilah disalurkan mengikut jalan yang telah ditetapkan oleh Syarak. Perhubungan yang baik dan suci sesama manusia mempunyai hubungan kait yang rapat dengan hubungan manusia itu dengan Pencipta iaitu dengan Allah SWT. Oleh yang demikian setiap manusia mestilah mempunyai hubungan yang baik dengan Allah SWT demi memastikan hubungan yang baik diperolehi sesama manusia.

Sebagaimana maksud firman Allah SWT "Pasti ditimpa kehinaan ke atas mereka (manusia) di mana sahaja mereka berada melainkan mereka yang mempunyai hubungan yang baik dengan Allah SWT dan manusia". (Surah al-Imran, ayat: 112)

Islam amat menitik beratkan berkasih sayang bagi setiap insan tanpa mengira kaum, pangkat dan harta. Hablumminannas. Malah, Islam juga menganjurkan sifat mengasihi semua makhluk ciptaan ALLAH di muka bumi. Kasih sayang ALLAH mengatasi segalanya. Dengan Kasih sayangNya, kita dapat menghirup udara secara percuma tanpa perlu dibayar sewa. Mustahil kita akan mendapat kasih sayang ALLAH jika kita sendiri tidak mengasihi makhluk yang lain.

Kita hidup bermasyarakat. Malah, memerlukan manusia di sekeliling kita. Justeru, untuk diri disayangi, hendaklah menyayangi. Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda, ‛Man la yarham, la yurham’ yang bermaksud ‘Barang siapa yang tidak menyayangi, dia tidak akan disayangi’ (HR Muslim).

Apa kaitan kasih sayang dan rapat dengan seseorang?

Pandangan Pertama: Apabila kita berkawan dengan seseorang, kita akan cuba mengenalinya. Sedia menerima baik dan buruknya. Malah, tidak menilai dirinya dari aspek luarannya. Setiap manusia dikurniakan fitrah untuk bersosial untuk menemani kehidupan kita yang singkat ini. Memang tidak dinafikan, perasaan cemburu, perasaan memerlukan perhatian, terasa, ia adalah suatu rasa yg diberikan oleh ALLAH untuk kita merasai asam garam dalam persahabatan. Ia mewarnai lukisan persaudaraan kita. Justeru, kenyataan tidak mahu rapat kerana ingin menjaga hati dan perasaan amatlah tidak dipersetujui.

Pandangan Kedua: Setiap sahabat yang hadir dalam hidup kita amatlah unik. Hargailah dia kerana dia juga seorang insan seperti kita. Menceriakan suasana kehidupan kita. Malah, segala kebaikan sahabat dapat kita praktikkan untuk kebaikan diri kita sendiri. Kebaikan seorang manusia tidaklah sama dengan yang lain. Untuk membentuk peribadi muslim yang berjaya, kita hendaklah mencontohi praktik-praktik yang baik untuk diimplementasikan dalam kehidupan kita pula agar kebaikan tersebut dapat dikongsi bersama. Contohnya: Sahabat kita istiqamah membaca doa menaiki kenderaan, terkadang kita akan turut praktikkan.

Kehidupan ini amatlah singkat. Dikala ini, kita dikurniakan teman-teman sekarang dan mereka tidak akan tetap bersama kita sehingga kita mati nanti. Kehidupan kita akan diteruskan apabila kita berhijrah ke suatu keadaan yang lain. Di setiap fasa kehidupan kita, teman-teman silih berganti. Jadikanlah kebaikan seorang teman dapat di”transfer” pada kita. Yang Baik, kita amalkan, Yang buruk, kita jadikan sempadan.

Pandangan Ketiga: Apabila kita rapat, kita akan cuba jadi sahabat yang baik dan cuba mengelakkan daripada sahabatnya terasa hati dengannya. Kejujuran dan keikhlasan amatlah penting dalam sesuatu hubungan. Malah sifat memahami merupakan asas kekuatan ukhwah. Selain dapat menegur sesama kita sekiranya ada salah dan silap, kita juga dapat memperbaiki diri untuk menjadi lebih baik. Apabila kita rapat, kita dapat merasai kemanisan ukhwah itu sendiri. Sharing and Caring with each other. Sesungguhnya, persaudaraan itu amatlah indah. Bila kita bersahabat, selamanya kita bersahabat.

Pandangan Keempat: Apabila kita rapat dengan seseorang, kita akan pasakkan hubungan kita kerana ALLAH. Bagi memperoleh ketaqwaan dan kemanisan iman, redha ALLAH kita cari untuk menjalinkan hubungan. Sesungguhnya, di dunia ini, kita hanya mengharapkan keredhaan ALLAH atas apa yang kita lakukan. InsyaALLAH, ada barokhah dan sentiasa dipelihara ALLAH.

Firman Allah SWT yang mafhumnya:

“Bahawa orang-orang yang beriman itu bersaudara.” [Al Hujurat: 10]

“Pada hari itu sahabat-sahabat karib: Sesetengahnya akan menjadi musuh kepada sesetengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan takwa (iman dan amal soleh).” 
[Az-Zukhruf: 67]

Banyak hadis Nabi SAW yang membenarkan kenyataan ini.

Pertama: “Tiga perkara siapa yang ada padanya akan dapat merasai kemanisan iman, iaitu; Pertama, bahawa Allah dan Rasul-Nya lebih dikasihi daripada yang selainnya. Kedua, seseorang itu kasih kepada seseorang dan tiadalah ia kasih kepadanya melainkan kerana Allah. Ketiga, bahawa ia benci untuk kembali menjadi kekufuran sebagaimana ia benci untuk dimasukkan ke dalam api neraka.” [Riwayat Bukhari]

Kedua: Sabda Rasulullah SAW  “Dan dua orang berkasih-kasihan demi Allah dan begitu juga apabila berhimpun.” [Riwayat Bukhari]

Ketiga: Seorang lelaki yang menziarahi saudara seagama. “Bahawa seorang lelaki menziarahi saudaranya di desa. Maka Allah SWT mengutuskan seorang malaikat mengikuti dalam perjalanannya, maka manakala malaikat bertemu dengan lelaki itu ia bertanya, “Ada urusan apa?” Jawab lelaki itu, “Aku hendak menemui saudaraku di desa ini.” Malaikat bertanya lagi “Ada apa-apa yang dibawanya?” “Tidak! Melainkan aku ke sana kerana aku kasih kepadanya.” Lalu berkata malaikat; “Aku malaikat utusan Allah SWT untuk memberitahu bahawa Allah SWT kasihkan engkau sebagaimana engkau kasihkan saudaramu.” [Riwayat Muslim]
  
Pandangan Kelima: Bersahabat amatlah bermakna dari beribu kali couple. It means, apabila kita berkawan or bersahabat, we’ll share a few things. Tanpa rasa malu dan segan. Malah tiada dosa jika berpegangan tangan or bersalaman. Senang menjaga hubungan. We’ll care each other. Tapi, bila berkawan dengan lelaki ni, (couple), susah nak jaga diri, susah nak share perkara-perkaara yang tidak boleh nak share. Kalu share pon, first time tu mesti malu-malu. Maruah seorang perempuan hendaklah diangkat setinggi-tingginya, bukan merendah serendah-rendahnya.

Rasulullah SAW telah menyatakan bahawa Islam telah mengangkat martabat seorang perempuan. Malu adalah perisai utama wanita selain dari iman. Pabila bercouple, kita mudah terjerumus ke dalam perkara-perkara yang dilarang Illahi. Malah, cepat dapat dosa kerana memandang perkara yang buruk sebagai perkara yang baik.

Walaubagaimanapun, kasih sayang ALLAH mengatasi segalanya. Tiada sempadan. ALLAH Maha Kaya dengan Kasih Sayang. ALLAH lah yang pertama di hati dan perlu disayangi. ALLAH sayang akan hamba-hambaNya. Kita sebagai hamba perlu sayang ALLAH mengatasi segalanya. ALLAH lah yang memercikkan rasa kasih sayang kita pada sahabat kita. Alhamdulillah…

Saling mencintailah

hanya kerana Allah,
saling menyayangilah
hanya kerana Allah,
saling membahagiakanlah
hanya kerana Allah,
kerana hanya Allah -lah
yang dapat menumbuhkan
rasa cinta, kasih sayang
...dan kebahagiaan tersebut...ammu

Isnin, 25 April 2011

Wahai Pemuda Zaman Ku….

Gambar Hiasan
As-Syahid Imam Hassan Al-Banna
Sesungguhnya aku amat merindui seorang pemuda yang tidak tidur lena kerana memikirkan masalah ummat.”

Muhammad Ahmad Ar-Rashid
”Golongan muda yang suci hatinya dari segala noda, bersih hatinya dari segala dosa dan menjauhi adat lapuk pusaka usang jahiliyah. Mereka dididik dengan didikan islam yang sebenar dan akidah tauhid yang sejati dan kemuliaan Islam serta berada di dalam barisan yang bersatupadu dan tersusun.”

Ibnu Syihab Az-Zuhry
Jangan kamu rasa rendah diri kerana mudamu.”

Dr. Abdullah Azzam
Saudaraku yang terhormat. Sesungguhnya jihad adalah rangkuman daripada kesabaran, kemantapan, istiqamah dan tahan dalam menghadapi berbagai macam tentangan. Hendaknya engkau selalu bertaqwa dan berzikir.”

Gambar Hiasan
Suatu Malam yang hening
Dihadapan Allah aku menangis
Hinanya ummat Muslimin di dunia
Kenapa?
Lalu datanglah jawapannya :
“Tidakkah engkau tahu : Ummah ini memiliki hatinya tapi tidak kekasihnya.”


PROLOG : Harapan Mereka

Kuharapkan pemuda inilah yang akan sanggup
Membangunkan zaman yang baru
Memperbaharui kekuatan iman,
Menyalakan pelita hidayat,
Menyebarkan ajaran khatimul anbiya…”
(MUHAMMAD IQBAL)

Sesunggguhnya hatiku sangat menyayangi mereka (generasi muda)
“Wahai generasi harapan Islam! Sesungguhnya kebahagian itu terletak dalam istiqamah (komitmen dengan ajaran Islam) dan beramal soleh.”
Generasi muda yang diinginkan Allah swt adalah generasi yang tetap dan berpegang teguh pada Deen islam serta berupaya mengembangkan kalimat ”La Ilaha Illallah.” Mereka hidup denganNya… Mereka sanggup mati juga kerna-Nya..
Wahai pemuda zaman ku….
”Kaummu di timur dan barat negeri ini
Bagaikan penghuni gua di pendalaman yang amat terpencil
Sementara ditangan kanan mereka ada dua cahaya :
Al-Quran dan As –Sunnah,
Tapi mengapa mereka terus terperosok ke lembah yang gelap gelita.”
( DR. A’IDH AL-QARNI)

SEJARAH BERULANG..
Pemuda Kahfi, kisah masyur dikalangan pemuda dan Mujahid Islam..
Kisah kekentalan dan kisah keyakinan …
Pengorbanan dan kesungguhan..
Sejarah mereka terakam indah..
Sebagai pedoman dan ikhtibar untuk..
Generasi mendatang…
Pemuda Kahfi.. Bukti keimanan dan ketaqwaan dicelah-celah kejahilan dan kefasadan…
Sesungguhnya mereka adalah beberapa orang pemuda yang hidup pada suatu masa di zaman seorang raja yang atheis ( tidak bertuhan ) dan zalim. Seorang raja yang angkuh yang mengakui dirinya sebagai tuhan. Mereka melihat dan memerhati, keadaan masyarakat sekeliling yang lalai dan alpa. Kaum mereka menyembah berhala, berpesta dengan iringan nyanyian lagu yang melalaikan dan didampingi minuman yang memabukkan. Mereka lihat kaum mereka bersujud kepada berhala dan bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada batu-batu yang jelas tidak memberikan apa-apa manfaat dan kebaikan. Jiwa kerdil mereka memekik ”Inilah adalah kejahilan dan kebodohan yang nyata!!!..”
Allah ingin menghidupkan hati pemuda-pemuda ini. Lantas mereka mengasingkan diri dari kaumnya. Perihal ketauhidan mereka diketahui oleh pihak pemerintah dan raja mengerahkan tentera mencari mereka dan dihukum kerana murtad daripada agama nenek moyang mereka. Mereka bertekad dan melarikan diri daripada kezaliman demi meneguhkan pegangan mereka. Allah berfirman :
” Dan kami telah meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri lalu mereka berkata, ”Rabb kami adalah Rabb langit dan bumi, kami berkali-kali tidak akan menyeru Tuhan selain Dia. Sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran,” ( AL-Kahfi:14)
Mereka bersembunyi di dalam gua yang sempit dan gelap. Dan dengan izin Allah, mereka tertidur di dalam selama tiga ratus sembilan tahun..Kita maklumi kisahnya. Apa yang penting, merekalah ikon pemuda yang mempunyai keteguhan hati dan kejernihan jiwa kepada Allah swt. Mereka adalah anak muda yang berani melawan arus, berpegang pada prinsip dan kebenaran walaupun ia berisiko tinggi. Pada era moden ini, golongan yang berjaya adalah mereka yang bersikap seperti ashabul Kahfi ini.
Namun, masih wujudkah keperibadian seperti mereka di zaman moden ini???

Ahad, 24 April 2011

Beratnya Timbangan Kalimah Tauhid

Bismillahirrahmanirrahim,

Abu Said r.a memberitakan daripada Nabi SAW di mana baginda bersabda:

"(Pada suatu hari) Nabi Musa as. berdialog dengan Tuhan: "Wahai Tuhanku, ajarilah aku sesuatu yang dapat aku sebutkan Engkau dan aku dapat pula memohon pada Engkau, dengannya."

Nabi menyambung: "Tuhan menjawab: "Ucapkan La ilaha illallaah."

Nabi Musa a.s menyambung: "Wahai Tuhanku, setiap orang hamba Engkau mengucapkan ucapan ini (sama dengan mereka)."

Allah SWT masih juga berfirman: "Ucapkan La ilaaha illallaah."

Nabi Musa a.s menyambung sabda: "(Wahai Tuhanku) sungguhnya aku inginkan suatu ucapan yang di khususkan bagiku."

"Mendengar demikian Allah SWT pun menjawab: "Wahai Musa, seandainya langit langit yang tujuh dan bumi yang tujuh (lapis) diletakkan pada suatu daun neraca (timbangan) dan kalimah La ilaaha illallaah di letakkan pada suatu daun neraca, akan berat lagilah La ilaaha illallaah."

(HR An-Nasa'i, Ibnu Hibban dan Al-Hakim: Shahih)


DALAM hadis lain Ibnu Abbas r.a meriwayatkan Baginda SAW bersabda: "Demi yang diriku ditanganNya, jika segala langit dan bumi dan siapa yang ada padanya dan apa yang ada diantaranya dan apa apa yang ada dibawahnya diletakkan disebelah dacing dan kalimah La ilaaha illallaah di sebelah yang lain maka dacing kalimah itulah lebih berat." 

Menyebut kalimah La ilaaha illallaah juga adalah untuk memperbaharui iman kita setiap masa.

Rasulullah SAW bersabda: Hendaklah kamu sentiasa perbaharui iman kamu. Para sahabat Rasulullah SAW berkata ‘Wahai Rasulullah SAW, bagaimanakah kami perbaharui iman kami? Rasulullah SAW menjawab ‘ucapkanlah Laailaha illallah sebanyaknya’.


TAZKIRAH
Sebagai khalifah Allah di muka bumi ini, seharusnya menjalani kehidupan yang selaras dengan tuntutan Islam dan melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya agar kita tidak tergolong dalam golongan yang akan mendiami neraka Jahanam...Nau'zubillahiminzalik! Justeru itu bentenglah diri dengan kalimah tauhid baik zahir mahupun batin. Cintailah Rasul dengan mengagungkan sunnahnya bersama dengan orang-orang yang soleh agar mendapat syafaatnya di akhirat kelak, InsyaAllah.

Khamis, 21 April 2011

Menghiasi Diri Dengan Zuhud

Diriwayatkan oleh Ibnu Majah Daripada Abu Abbas r.a., katanya: "Ada seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w. lalu berkata: "Ya Rasulullah, tunjukkanlah padaku sesuatu amalan yang apabila amalan itu saya lakukan, maka saya akan dicintai oleh Allah dan juga dicintai oleh seluruh manusia."

Beliau s.a.w. bersabda: "Berzuhudlah di dunia, tentu engkau dicintai oleh Allah dan berzuhudlah dari apa yang dimiliki oleh para manusia, tentu engkau akan dicintai oleh para manusia."

ZUHUD itu letaknya di hati. Dikatakan zuhud bila hati tidak cinta dunia. Hanya dunia itu dijadikan sebagai saluran untuk membesar dan mengagungkan Tuhan. Biarpun kaya, kaya digunakan untuk jalan Tuhan. Biarpun miskin, hatinya tetap dengan Tuhan dan tak terikat dengan dunia. Maksudnya di sini, orang zuhud bukanlah menolak dunia. Dunia itu diambil sekadar keperluan. Selebihnya digunakan di jalan Tuhan.

Diceritakan bahawa pernah Sayyidina Ali, pergi melihat sebuah masjid dan dilihatnya di situ ada halaqah pengajian. Yang mengajar itu adalah Hasan Basri, seorang remaja belasan tahun umurnya walhal orang-orang yang mendengar itu kebanyakannya orang dewasa. Timbullah niat di hati Sayyidina Ali untuk menguji apakah Hasan Basri benar-benar layak mengajar. Ditanya kepada Hasan Basri,

“Apakah yang boleh menyelamatkan manusia?”

“Zuhud”, jawab Hasan Basri secara spontan.

Maka, yakinlah Sayyidina Ali yang Hasan Basri itu mempunyai kelayakan untuk mengajar hanya kerana dapat menjawab dengan tepat soalan beliau.

Pengajaran daripada kisah ini dapatlah kita ketahui bahawa zuhud adalah kunci kepada keselamatan manusia. Manakan tidak, hadis di atas juga telah meletakkan orang zuhud sebagai orang kesayangan Allah. Sudah pasti orang kesayangan Allah itu akan terselamat di dunia juga di Akhirat. Selama mana seseorang itu boleh zuhud, selagi itulah dia akan terselamat.

Tuhan ada berfirman, “Tidak ada dua hati dalam diri anak Adam” (Al-Ahzab:4).

Hati manusia ini kalaulah tanpa zuhud, nescaya akan diisi dengan cinta dunia. Seolah-olah hati manusia itu menjadi rebutan, bertarik-tarik antara zuhud dan cinta dunia. Amat malang, jika hati terarah kepada cinta dunia, maka tiadalah lagi keselamatan kepada manusia itu.

Benarlah sabda Nabi tentang dunia ini iaitu: “Cinta dunia adalah kepala bagi segala kejahatan.”

Daripada cinta dunia, lahirlah berbagai kejahatan lain seperti hasad dengki, pemarah dan sombong. Semua ini bukan sahaja merosakkan empunya diri tetapi boleh juga merosakkan orang lain. Hakikat krisis dan perpecahan umat yang berlaku hari ini adalah disebabkan dengan penyakit cinta dunia ini. Selagi penyakit cinta dunia ini tidak diungkai daripada hati manusia, selagi itulah manusia akan terus berkrisis dan bersengketa. Tidak akan aman dunia ini dengan adanya manusia-manusia yang bersarang cinta dunia. Lagi, bila kita kaji dan teliti hadis ini, orang zuhud itu disayangi Tuhan kerana hati orang zuhud itu sudah tidak terikat dengan dunia lagi.

Apakah maksudnya? Dunia bila sudah masuk hati, maka rasa-rasa dengan Tuhan akan menjauhi. Tapi bila dunia itu sudah dibuangkan daripada merajai hati, maka mudahlah rasa-rasa dengan Tuhan itu masuk dan menguasai hati. Justeru, selarilah rasa hati seseorang itu dengan kehendak-kehendak Tuhan. Jadilah, dia itu orang yang memahami kehendak dan peranan Tuhan dalam kehidupan.

Disebut tadi, zuhud itu mengambil dunia sekadar perlu. Dan selebihnya digunakan untuk jalan Tuhan. Itu ilmunya. Nak berbuat, tidaklah semudah yang diceritakan. Ianya perlukan mujahadah. Kena benar-benar mengekang nafsu daripada berkehendak kepada yang tidak perlu. Kena benar-benar merasai kesusahan orang lain agar mudah harta dunia itu dialihkan kepada orang yang susah. Kena benar-benar ada jiwa untuk memperjuangkan Tuhan, barulah dunia itu disalurkan untuk perjuangan fisabilillah! Kuat mujahadah, maka lemahlah nafsu mencintai dunia. Sebaliknya, bila lemah mujahadah, jadilah nafsu itu kuat dalam mencintai dunia…


Dalam erti kata lain, zuhud juga tidak bermaksud menyuruh umatnya membuang dunia, zuhud adalah orang yang giat bekerja di dunia, namun tidak menjadikan keindahan dunia ini sebagai sesuatu yang agung sehingga timbulnya kedengkian, kebencian dan permusuhan sesame manusia. Zuhud tidak akan menjadikan manusia membiarkan dunia ini menguasai hatinya atau membiarkan dirinya dari melupakan kebesaran dan kekuasaan ALLAH SWT.

ALLAH SWT telah berfirman dalam surah Sajdah ayat 15-16:

"Sesungguhnya orang orang yang beriman dengan ayat ayat Kami adalah orang orang yang apabila diperingatkan kepadanya (dengan ayat ayat tersebut) mereka menyungkur sujud, dan bertasbih serta memuji Allah, sedang mereka tidak menyombong. Mereka jauh dari tempat tidur, mereka berdoa kepada Allah dengan perasaan takut dan harap dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezeki yang telah KAMI berikan kepada mereka."

Sifat zuhud adalah amalan dari As sunnah dan Rasulullah s.a.w sentiasa menyeru para sahabat supaya sentiasa bersifat zuhud. Ada banyak contoh As sunnah dapat dilihat dari hadis-hadis ini:

Diriwayatkan oleh Ibnu Majah, Tabrani, Hakim dan Baihaqi daripada Sahl Bin Sa'ad:

"Zuhudlah di dunia, anda akan di cintai Allah s.w.t, dan zuhudlah pada apa yang ditangan manusia, anda akan dicintai manusia."

Diriwayatkan oleh Ahmad Muslim,Termidzi dan Ibnu Majah daripada Abu Hurairah r.a:

"Dunia adalah penjara kepada orang mukmin dan syurga kepada orang kafir"

Rasulullah s.a.w sering kali bersabda kepada para sahabat tentang kerisauan baginda seandainya umatnya akan terleka dengan kenikmatan dunia dan melupakan kehidupan yang kekal diakhirat.

"Aku takutkan atas kamu jika dunia menjadi lapang (senang) bagimu sebagaimana ia menjadi lapang bagi orang orang yang sebelum kamu , maka berlumba lumbalah untuk-Nya sebagaimana mereka telah berlumba lumba untuk-Nya, Ia akan membinasakan kamu sepertimana Ia telah membinasakan mereka."



Wallahualam...

Selasa, 19 April 2011

Hartaku! Hartaku!

Dari Abu Hurairah ra katanya, Rasulullah saw bersabda: “Kelak bumi akan memuntahkan jantung hatinya berupa tiang-tiang emas dan perak. Maka datanglah seorang pembunuh seraya berkata: “Kerana inilah aku jadi pembunuh”. Kemudian datang pula si perompak, lalu berkata: “Kerana inilah aku putuskan hubungan silaturrahim”. Kemudian datang pula si pencuri seraya berkata: “Kerana inilah tanganku dipotong”. Sesudah itu mereka tinggalkan sahaja harta kekayaan itu, tiada mereka mengambilnya sedikitpun.” (Muslim)


Lazimnya manusia mencari kekayaan dan harta benda. Malah kadangkala kerana gila mengejar harta dunia, manusia terpengaruhi oleh hawa nafsu dan bisikan syaitan sehingga ada yang sanggup berbunuh-bunuhan, merompak dan memutuskan silaturrahim.

Dunia dicipta untuk menguji manusia siapakah yang paling bertakwa. Sesungguhnya harta dunia tidak akan membawa apa-apa erti jika ia tidak dimanfaatkan ke jalan yang diredhai Allah.

Hakikat harta diterangkan Rasulullah saw seperti sabdanya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah: “Seorang hamba (manusia) berkata, “Hartaku, hartaku!”. Padahal hartanya itu sesungguhnya ada 3 jenis: 
(1) Apa yang dimakannya lalu habis. 
(2) Apa yang dipakainya lalu lusuh. 
(3) Apa yang disedekahnya lalu tersimpan untuk akhirat. 

Selain yang (3) itu, semuanya akan lenyap atau ditinggalkan kepada orang lain”. (Muslim)

Isnin, 18 April 2011

Ketika Masa Berbicara

MASA boleh ditakrifkan dalam pelbagai bentuk mengikut kuantiti dan situasi. Zaman, tahun, jam, minit dan saat. Setiap satunya mempunyai nilai, mewakili betapa masa itu bersifat infiniti, bagai tidak ada hujungnya. Hari kelahiran, kematian, hari akhirat...semua ini mempunyai kaitan dengan soal masa.

Betapa pentingnya masa itu, setiap minit yang menjadi masa silam, pasti akan tertulisnya suatu kenangan atau kisah silam - bertambahnya pengetahuan dan pengalaman. Daripada seorang bayi yang tidak boleh berkata-kata, kemudian bertukar menjadi seorang yang petah bercakap...di situ dapat kita lihat betapa pentingnya masa.


Untuk mengetahui nilai masa SETAHUN, tanyalah pelajar yang gagal dalam peperiksaan akhir.
Untuk mengetahui nilai masa SEBULAN, tanyalah ibu yang mengandung tidak cukup sebulan.
Untuk mengetahui nilai masa SEMINGGU, tanyalah editor suratkhabar mingguan.
Untuk mengetahui nilai masa SEJAM, tanyalah pasangan yang menunggu kekasihnya ketika keluar 'dating'.
Untuk mengetahui nilai masa SEMINIT, tanyalah orang yang ketinggalan keretapi / LRT.
Untuk mengetahui nilai masa SESAAT, tanyalah orang yang mengelakkan kemalangan.
Untuk mengetahui nilai masa MILISAAT, tanyalah atlit yang memenangi pingat perak dalam sukan Olimpik.


Masa terlalu bernilai kerana ia takkan kembali walau sesaat...
Ia tetap akan bergerak walau kita tetap tidak mahu berganjak...
Ia akan tetap akan berputar walau kita leka dengan hiburan yang tiada penghujungnya...
Hanya insan yang mengetahui betapa pentingnya masa, akan menyedari betapa bahawa dia sebenarnya insan yang begitu rugi...
Dia telah mensia-siakan segala peluang ketika masa diberi untuk merebut peluang tersebut...
Dia akan menangis, menyesal namun hakikatnya dia tidak perlu berbuat demikian...
Kerana masa tidak akan bersimpati kepadanya, masa tidak akan memutarkan walau sesaat jarumnya kembali...


Hargailah masa...
Setiap masa amat berharga kepada yang menghargainya...

Ahad, 10 April 2011

Keadaan Seseorang Ketika Di Dalam Kubur

Hadith:

Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila si mati dikuburkan, datanglah kepadanya dua Malaikat hitam legam, lagi biru (matanya), salah satu di antaranya disebut dengan nama “Munkar” dan yang satu lagi disebut dengan nama “Nakir”, (lalu keduanya mendudukkan si mati itu setelah dikembalikan rohnya ke dalam jasadnya) kemudian mereka menyoalnya: ”Apa yang pernah engkau katakan mengenai orang ini (Muhammad s.a.w)?” (dan pada satu riwayat oleh Abu Daud: Mereka bertanya kepadanya: "Apa yang engkau pernah sembah?” Maka kalau Allah memberi hidayah petunjuk kepadanya, ia akan menjawab dengan berkata: “Aku menyembah Allah!” Kemudian ia ditanya lagi: “Apa yang engkau pernah katakan mengenai orang ini (Muhammad s.a.w)?” (Dan pada satu riwayat yang lain, oleh Abu Daud juga: Mereka menyoalnya dengan berkata: “Siapa Tuhanmu?” Ia menjawab: “Tuhanku ialah Allah!” Mereka bertanya lagi: “Apa agama mu?” Ia menjawab: “Agamaku ialah Islam!” Mereka bertanya lagi: “Siapa dia orang yang telah diutuskan dalam kalangan kamu)?” Maka kalau si mati seorang yang beriman, ia akan menjawab dengan berkata: “Orang itu (Muhammad s.a.w) ialah hamba Allah dan RasulNya, aku mengetahui serta menyakini bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad itu ialah hamba Allah dan RasulNya!” Mereka berkata kepadanya: “Kami sedia mengetahui bahawa engkau mengakui yang demikian” (Dan pada satu riwayat oleh Abu Daud bahawa Baginda s.a.w bersabda: “Lalu diseru oleh penyeru dari langit katanya: “Sungguh benar hamba-Ku, maka bentangkanlah kepadanya satu hamparan dari Syurga, dan pakaikanlah dia pakaian dari Syurga, serta bukakanlah baginya sebuah pintu ke Syurga”. “Rasulullah s.a.w bersabda lagi: “Lalu datang kepadanya sebahagian dari bau Syurga dan keharumannya kemudian dilapangkan kuburnya seluas tujuh puluh hasta persegi, dan diberikan cahaya yang menerangi kuburnya; kemudian dikatakan kepadanya: “Tidurlah!” Lalu ia berkata: “Bolehkah aku balik kepada keluargaku supaya dapat aku ceritakan kebaikan halku?” Dua Malaikat itu berkata kepadanya: “Tidurlah seperti tidurnya pengantin yang tidak dibangkitkan dari tidurnya melainkan sekasih-kasih ahlinya. 


Demikianlah halnya sehingga ia dibangkitkan Allah dari tempat baringnya itu. Jika si mati itu seoarang munafik, ia menjawab pertanyaan Malaikat itu dengan katanya: “Aku dengar orang berkata demikian, maka aku pun turut berkata sama; aku tidak tahu benarkah atau tidak”. Lalu dua Malaikat itu berkata: “Memang kami tahu engkau berkata demikian”; (dan menurut satu riwayat oleh Abu Daud: “Lalu diseru oleh penyeru dari langit katanya: “Sesungguhnya orang itu berdusta maka bentangkanlah kepadanya satu hamparan dari Neraka, dan pakaikanlah dia dari Neraka, serta bukakanlah baginya sebuah pintu ke Neraka”. Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: “Lalu datang kepadanya sebahagian dari bahang Neraka dan udara panasnya) kemudian diperintahkan bumi supaya mengapitnya lalu bumi mengapitnya sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya, maka tinggallah ia dalam azab itu terus menerus ke masa Allah bangkitkan dia dari kuburnya.” Nauzubillahiminzalik...