Seorang lelaki tua menyara hidupnya sebagai pendayung sampan di sebuah tasik. Tugasannya ialah membawa para pelancong melihat keindahan alam.
Suatu hari seorang anak muda dari pengajian tinggi datang membuat kajian untuk menyiapkan kertas kerjanya. Dia menaiki sampan lelaki tua tersebut. Sepanjang menyusuri tasik tersebut mereka hanya berdiam diri. Mungkin anak muda ini merasa bosan maka si anak muda memulakan perbualan dengan lelaki tua.
Anak muda: Pakcik dah lama ke kerja sebagai pendayung sampan?
Lelaki tua: Alhamdulillah, lama dah...hampir separuh hidup pakcik, pakcik mencari rezeki sebagai pendayung sampan.
Anak muda: Ooo lame jugak pakcik bekerja sebagai pendayung ni ye. Ermm...pakcik tahu membaca tak?
Lelaki tua: Pakcik tak tahu
Anak muda: Hurmmm...sayangnya pakcik telah hilang 25% dari kehidupan pakcik.
Lelaki tua itu hanya membisu. Anak muda itu bertanya lagi.
Anak muda: Pakcik tau menulis tak?
Lelaki tua: Pakcik tak tau menulis, Nak.
Anak muda: Hurmmmmmm....pakcik dah hilang 25% lagi dari kehidupan pakcik. Kasihan...
Ujar anak muda seolah-olah memandang rendah terhadap kekurangan lelaki tua tersebut. Kedua-duanya mendiamkan diri. Ketika berada ditengah-tengah tasik. Tiba-tiba sampan lelaki tua itu bocor dan air mula memasuki sampan tersebut. Lelaki tua bertanya kepada anak muda tadi.
Lelaki tua: Air dah mula masuk nampaknya perahu ni akan karam. Anak tahu berenang tak?
Si anak muda itu mengerutkan wajahnya dan kelihatan gusar.
Anak muda: Erkkk...saya tak tahu berenang pakcik.
Lelaki tua: Sayangnya...anak tak tahu berenang maka anak telah hilang 100% kehidupan anak.
Si anak muda mula cemas.
Anak muda: Pakcikkkk...tolonglah selamatkan saya. Saya tak reti berenang. Saya tak mahu mati lemas. Tolonglah selamatkan saya...tolonglah pakcik!!
Sambil menangis. Anak muda tersebut terus merayu dan merayu agar lelaki tua itu menyelamatkannya daripada lemas.
Pengajaran
Setiap ciptaan Tuhan di alam semesta pastilah ada guna, hikmat dan hikmahnya. Jika tidak, tentu ini berlawanan dengan sifatNYA - Maha Bijaksana. Mustahil DIA mencipta main hentam keromo macam manusia yang lemah ini. Tidak mempercayai hakikat ini tentulah satu kesilapan dan kesalahan kerana seolah-olah menidakkan hikmah di setiap ciptaanNYA. Akan tetapi, mempercayai dengan iktikad yang salah, lagilah salah dan boleh merosakkan aqidah. Oleh yang demikian, percayalah secara sederhana, akui kebesaran Allah, akui hikmah-hikmah ciptaan-Nya namun yang berkuasa hanyalah Allah. Adapun "kuasa" sesuatu barangan ciptaan Allah itu adalah atas kehendak-Nya dan izin-Nya jua.
Dalam kehidupan ini janganlah kita memandang rendah pada kekurangan orang lain. Allah ciptakan kita ada yang dianugerahkan kelebihan dan kekurangan. Agar kita saling bantu membantu diantara satu sama lain. Allah Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui dalam setiap perkara.
Jika Allah menganugerahkan kelebihan kepada kita hendaklah kita bersyukur atas nikmatNya dan gunakanlah ia sebaik-baiknya. Maka kita bantu orang yang kurang bernasib baik dari kita.
Bagi yang tidak bernasib baik janganlah kita merasa rendah diri dan menyalahkan takdir yang ditentukan atas kekurangan kita. Jika kita gagal dalam hidup ini bukan bererti kita akan gagal selama-lamanya. Kerana setiap kejadian atau ujian yang Allah turunkan pada kita ada hikmah disebaliknya. Tanda sayangNya pada kita.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"...Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (Surah Al-Baqarah:216)
Wallahualam bissawab...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan