...tak secantik Balqis, tak setulus Zulaikha, tak sekuat Siti Hajar dan tak semulia Siti Khadijah...

Bersama air mata pasti ada senyuman. Bersama kesedihan ada kegembiraan. Bersama cubaan ada anugerah. Bersama musibah ada anugerah. Semuanya telah merupakan ketentuan yang pasti dan prinsip hidup yang digariskan Allah s.w.t.

Indahnya! Ukhwah Tercipta kerana Allah s.w.t, Jazakumullah Khairan Kathira

Ahad, 31 Julai 2011

Menjadi Tetamu Ramadhan 1432H


Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh wal maghfirah wannikmah...

ALHAMDULILLAH atas nikmat Allah yang maha pemurah, mengasihi lagi mengasihani juga asma' NYA memberikan kita bersama-sama berpeluang menjadi tetamu Ramadhan 1432H ini. Moga kita semua mendapat keredhaan dan keberkatan di atas bulan yang dikurniakan kepada hamba-hamba yang dipilihnya untuk menjalankan ibadah puasa. Ramadhan bulan untuk mengumpul kekayaan (amal ibadah) untuk berada disisiNYA nanti. InsyaALLAH..



Buat pengunjung blog semua, saya mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa di bulan ini dengan penuh keimanan dan ketaqwaan kepada NYA, moga diterima segala amalan, taubat dan doa hamba-hambanya yang diciptakannya...sahabat-sahabat anggaplah ini adalah puasa terakhir kita, mungkin next year kita belum tentu berkeizinan bertemunya lagi dan merasai nikmat bulan penuh barakah ini.

Akhir kata, Salam ukhuwwah salam mahabbah wa mawaddah. Semoga semuanya di dalam rahmat Allah dan sihat senantiasa, Amin.

Khamis, 28 Julai 2011

Jika Semua Berpaling Darimu, Allah Tetap Bersedia Menemanimu

Apabila rentetan kesedihan datang beruntun, kegelisahan bergayut di sekeliling, kedukaan semakin tidak dapat ditanggung, jalan di hadapan semakin buntu dan segala ikhtiar tidak berguna, maka insan yang malang itu akan berseru kepada Allah: "Ya Allah, ya Allah. Tidak ada Tuhan selain Allah Yang Maha Agung dan Maha Bijaksana. Tidak ada Tuhan selain Allah Tuhan Pemilik Arasy yang agung. Tidak ada Tuhan selain Allah Tuhan Pemilik Langit, bumi dan Arasy yang agung." Oleh itu, kesedihan lenyap, bencana hilang dan kesusahan dapat diatasi.

"Maka Kami kabulkan permintaannya dan kami selamatkan dia dari kesedihan. Demikianlah Kami menyelamatkan orang-orang yang beriman."
(Surah Al-Anbiya' : 88)

"Tidak ada satu pun nikmat yang ada pada kamu kecuali semuanya dari Allah. Apabila kamu ditimpa bahaya, maka kepadaNya kamu mengadu."
(Surah An-Nahl: 53)

Apabila kesakitan yang ditanggung sudah sampai ke kemuncaknya, tubuh tidak bermaya, wajah pucat lesi, tenaga dan kekuatan telah tiada, segala usaha sia-sia, doktor pun sudah menyerah, jiwa mulai mengeluh, tangan tidak mampu digerakkan, hati sudah tidak lagi punya harapan, maka orang yang sakit itu pasrah menghadapkan wajahnya kepada Zat Yang maha Tinggi sambil berseru: "Ya Allah, ya Allah. Kerana itu, penyakit itu akan hilang, penderitaan akan lenyap dan doa didengarkan:

"Ketika Ayub berseru kepada Tuhannya, sungguh aku telah ditimpa kemalangan dan Engkau adalah Zat yang Maha Mengasihi. Kerana itu, Kami kabulkan seruannya dan kami hilangkan kesusahan yang menimpanya. Kami datangkan keluarganya dan orang-orang yang seperti mereka sebagai kasih sayang dari Kami dan peringatan bagi orang-orang yang menyembah."
(Surah Al-Anbiya' : 83-84)


Kelembutan Allah akan berterusan 
dalam tempoh yang lama, bak 
kesayuan pandangan mata.

Hari esook akan menghapus semua 
mimpi buruk, mengusir semua
kesedihan, dan menggantinya
dengan canda dan tawa.

Allah kelak akan menjadikan
kelapangan selepas kesempitan.


Ahad, 24 Julai 2011

Hadapilah Hidup Ini Dengan Senyuman


Kalau anda senyum walaupun ketika sedang bersedih dan berduka, sebenarnya anda sedang berusaha meringankan beban dan mengetuk gerbang kebahagiaan yang anda cari.

Sekali-kali jangan berfikir dua kali untuk tersenyum, kerana dengan tersenyum bermakna anda sedang menghidupkan semangat dan kekuatan yang ada dalam didiri anda. Jangan bermurung dan bermasam muka kerana ia akan menekan kekuatan itu, sedang menekannya bererti anda membuat dirimu menderita. Senyuman yang anda beri tidak akan membahayakan anda! Tetapi sebaliknya, ia akan menarik segala kebaikan. Bercakaplah dengan orang di sekeliling anda dengan bahasa kalbu (senyuman). Bibir yang paling indah dan menarik ialah ketika ia melontarkan senyuman.

Ada ungkapan yang menyebut bahawa "senyuman itu merupakan satu kemestian dalam pergaulan." Bergaul bermakna berkomunikasi dengan baik, dan hidup bermasyarakat memerlukan kemahiran tertentu yang mesti ada dalam diri anda. Satu daripada ialah pandai dan mahu tersenyum. 

Apabila anda tersenyum kepada orang lain, bermakna anda sedang memberi kebahagiaan. Senyuman dapat menyuntik perasaan optimis dan damai di hati orang lain. Sebaliknya, jika anda tampil dengan wajah bengis dan murung bermakna anda telah menyeksa dan mengganggu hati mereka. Sudah pasti anda tidak suka menjadi punca kesedihan kepada sesiapapun.

Sesuatu yang sudah berlaku telah berlalu, dan sekarang adalah giliran anda untuk berbuat. Optimislah, meskipun anda berada di tengah-tengah badai dan angin taufan. Sesungguhnya selepas kesusahan itu akan ada kemudahan.

Jangan berputus asa menyaksikan peredaran hari
kerana ia adalah ketetapan dan ketentuan Allah
Emasmu adalah agamamu
perhiasanmu adalah budi pekertimu
dan hartamu adalah sopan santunmu
Memadailah Allah sebagai penolong kami
dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung.

Sabtu, 23 Julai 2011

Ghirah Itu Cemburu


Ghirah dalam bahasa Arabnya membawa maksud Cemburu yang memberi makna yang sungguh mendalam dan berbeza dari setiap individu yang berlainan. Cemburu adalah naluri manusia terhadap sesuatu benda yang amat disayanginya. Cemburu lebih dispesifikasikan terhadap insan yang amat disayangi atau dicintai. Cemburu kadang-kadang memberi satu impak yang amat bermakna dalam diri setiap individu. Cemburu adalah satu emosi yang tidak dapat digambarkan.

Kecemburuan adalah merupakan satu sikap dan sifat yang mana takut kehilangan sesuatu yang amat disayangi. Namun sifat cemburu mestilah ada batasnya. Jika tidak dibendung, pasti akan mengundang padah. Sebagai contoh cemburu di antara isteri dan suami menandakan bukti rasa cinta yang mendalam di antara pasangan itu. Dan ini akan memperkukuhkan lagi bahang cinta antara dua hati. Cemburu itu tidak buruk dan ia mengandungi strategi dalam perkahwinan. Perasaan cemburu dapat mengukur sejauh mana cinta di antara suami isteri. Wowww bestnye!


Orang tua kata cemburu itu tandanya sayang. Betul juga kata-kata ini cuma janganlah kita cemburu tidak bertempat dan melampau-lampau. Perasaan cemburu ini pun berlaku dalam kehidupan Rasulullah. Isteri baginda pun cemburu juga antara satu sama lain. Di antara isteri Rasulullah yang paling suka cemburu adalah Aisyah. Perkara ini wajar mengingatkan Aisyah memiliki tahap kecemburuan yang tinggi kerana beliau memperolehi tempat yang istimewa di sisi baginda setelah Khadijah binti Khuwailid yang menjadi isteri pertama baginda.

Di samping itu, Aisyah adalah satu-satunya isteri Rasulullah yang dinikahi dalam usia yang terlalu muda. Beliau juga termasuk isteri yang cerdas dan banyak membantu baginda apabila menghadapi masalah yang sukar, sehingga wajar apabila kelebihan-kelebihan ini menjadikan Aisyah istimewa di sisi baginda maka beliau sangat pencemburu.

Kerana sifat Aisyah yang terbuka dan cenderung keanak-anakkan dan kurang boleh menguasai perasaannya, itulah yang membuat Rasulullah suka bercanda dengan isterinya itu. Emosi Aisyah akan nampak apabila beliau sedang cemburu. Dan itu bererti kecemburuan seorang wanita terhadap suaminya adalah menunjukkan kadar cintanya terhadap suaminya sangatlah tinggi.

Yes! Cemburu itu memang sesuatu yang normal, jika sekiranya ia cemburu yang berasas, cemburu yang bertempat, bukan cemburu membabi buta. Tak dinafikan, setiap orang di muka bumi ini pasti mempunyai perasaan cemburu itu.

Tapi, kalau cemburu itu tidak dikawal, boleh membawa padah. Boleh juga membawa kepada perasaan hasad, dengki, khianat! Nauzubillah. Minta dijauhkan daripada mengkhianati dan dikhianati akibat perasaan cemburu. Dan akhir sekali, ada juga yang kata cemburu itu tandanya cinta, sayang. Mungkin ya. Mungkin juga tidak. Hanya orang yang cemburu itu tahu kenapa dia cemburu. Renung-renungkan. Dan fikir-fikirkanlah.

p/s kekadang saya sendiri cemburu dengan ammu :'(

Rabu, 13 Julai 2011

Janganlah Cinta Ini Melebihi Cinta Pada-Mu Ya Allah

Sekiranya kita cinta kepada manusia, tak semestinya manusia cinta kepada kita, tetapi sekiranya kita cinta kepada Allah, niscaya cinta Allah tiada penghujungnya. Sekiranya kita cinta kepada manusia, kita akan cemburu kepada orang yang mencintai orang yang kita cintai, tetapi sekiranya kita cinta kepada Allah, kita akan turut mencintai orang yang melabuhkan cintanya kepada Allah juga.

Ya Allah, andainya dia adalah jodoh yang ditetapkan olehmu kepadaku, maka campakkanlah dalam hatiku cinta kepadanya adalah keranaMu, dan campakkanlah dalam hatinya, cinta kepadaku adalah keranaMu. Namun andai dia bukanlah jodoh yang ditetapkan olehMu kepadaku, berikanlahku kekuatan agar pasrah dalam mengarungi ujian yang Kau berikan kepadaku.

Ya Allah, jika aku jatuh cinta, cintakanlah aku pada seseorang yang melabuhkan cintanya padaMu,agar bertambah kekuatanku untuk mencintaiMu.

Ya Muhaimin, jika aku jatuh cinta, jagalah cintaku padanya agar tidak melebihi cintaku padaMu.

Ya Rabbana, jika aku jatuh hati, jagalah hatiku padanya agar tidak berpaling daripadaMu.

Ya Rabbul Izzati, jika aku rindu, rindukanlah aku pada seseorang yang merindui syahid di jalanMu.

Ya Allah, jika aku rindu, jagalah rinduku padanya agar tidak lalai aku merindui syurgaMU.

Ya Allah, jika aku menikmati cinta kekasihMu, janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan indahnya bermunajat di sepertiga malam terakhirMu.

Ya Allah, jika aku jatuh hati pada kekasihMu, janganlah biarkan aku tertatih dan terjatuh dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepadaMu.

Ya Allah, jika kau halalkan aku merindui kekasihMu, jangan biarkan aku melampaui batas sehingga melupakan aku dari cinta hakiki dan rindu abadi hanya kepadaMu.

Jumaat, 8 Julai 2011

Sanah Helwah...Munajat Seorang Hamba




Perjalanan waktu tiada henti berlagu
Pergantian usia kini didepan pintu
Terucap syukur atas nikmat Yang Maha Kuasa
Alhamdulillah, hari ini usiaku bertambah





Lewati keheningan malam
Dengan sujud air mata kebahagiaan
Lafaz syukur seorang hamba terkirim ikhlas padaMu, ya Allah
Masih Engkau izinkan hambaMu ini bernafas di dunia
Untuk memperbaiki diri yang masih berlumur dengan dosa



Tak pernah jemu menadah tangan memohon rahmatMu
Engkaulah satu-satunya tempat kusandarkan harapan
Bukakanlah pintu kemudahan
Atas kesulitan yang tak jua kunjung pergi
Sebagai kurniaan nikmat di hari lahirku dariMu, ya Rabbi...






Syukran ya Allah keranaMu, diri ini kuat!


Ahad, 3 Julai 2011

Cinta Kepada Dunia Adalah Gerbang Kejahatan



Dari Khalid ibn Umair Al-Adawi berkata: Utbah bin Azwan telah menerangkan kepada kami, setelah memuji Allah dan selawat ke atas Nabi s.a.w beliau berkata: Tanpa syak lagi telah dimaklumkan bahawa kehidupan dunia akan tamat. Berpaling kebelakang dan dengan pantas berlalu. Kini dunia tinggal sisa yang sedikit seumpama dalam sebuah mangkuk minuman yang manusia berebut menghisapnya.

Kamu akan meninggalkan dunia ini dan akan berpindah ke sebuah rumah yang tidak ada kesudahannya. Oleh itu bawalah bekalan yang terbaik (amal kebaikan) untuk perpindahan ke rumah itu. Kami telah diberitahu bahawa  dipinggir neraka terdapat seketul batu yang dicampakkan ke dalam neraka selama 70 tahun namun belum sampai ke dasarnya. Demi Allah pada suatu hari nanti neraka jahanam ini juga akan dipenuhi oleh manusia. Tidakkah kamu hairan dengan perkara ini?

Sesungguhnya kami telah diceritakan bahawa antara 2 galang pintu syurga ialah seluas 40 tahun perjalanan , tetapi pada suatu hari nanti pintu yang seluas itu pun akan menjadi sempit kerana sesaknya manusia. Aku melihat dizaman itu ketika bersama-sama Rasulullah s.a.w, 7 orang dikalangan sahabat, aku juga termasuk di antaranya tidak mempunyai apa-apa makanan kecuali daun-daun  pohon sehingga kedua dinding mulut kami menjadi luka. Daku menjumpai sehelai selimut yang ku koyakkan menjadi 2 bahagian. Sebahagian ku jadikan kain dan sehelai lagi ku berikan kepada Hadzrat Saad bin Malik.

Hari ini di antara kami ada yang menjawat sebagai gabenor negeri disatu-satu negeri. Aku berlindung kepada Allah daripada melihat diriku sebagai orang yang besar tetapi kecil pada pandangan Allah. (Perjalanan dan) Cara Kenabian telah hilang sedikit demi sedikit dan akhirnya digantikan dengan cara (sistem) beraja, selepas kami nanti kamu akan lihat gabenor lain pula memerintah dan lihat bagaimana dia akan memerintah.


(Hadis Riwayat Muslim)

Jumaat, 1 Julai 2011

Balasan Meninggalkan Solat

Diriwayatkan bahawa pada suatu hari Rasulullah s.a.w sedang duduk bersama para sahabat, kemudian datang pemuda Arab masuk ke dalam masjid dengan menangis. Apabila Rasulullah s.a.w melihat pemuda itu menangis maka baginda pun berkata, “Wahai orang muda kenapa kamu menangis?”

Maka berkata orang muda itu, “Ya Rasulullah S.A.W, ayah saya telah meninggal dunia dan tidak ada kain kapan dan tidak ada orang yang hendak memandikannya.”

Lalu Rasulullah s.a.w memerintahkan Abu Bakar r.a. dan Umar r.a. ikut orang muda itu untuk melihat masalahnya. Setelah mengikut orang itu, maka Abu Bakar r.a dan Umar r.a mendapati ayah orang mudah itu telah bertukar rupa menjadi babi hitam, maka mereka pun kembali dan memberitahu kepada Rasulullah s.a.w, “Ya Rasulullah s.a.w, kami lihat mayat ayah orang ini bertukar menjadi babi hutan yang hitam.”

Kemudian Rasulullah s.a.w dan para sahabat pun pergi ke rumah orang muda dan baginda pun berdoa kepada Allah s.w.t, kemudian mayat itu pun bertukar kepada bentuk manusia semula. Lalu Rasulullah s.a.w dan para sahabat menyembahyangkan mayat tersebut.

Apabila mayat itu hendak dikebumikan, maka sekali lagi mayat itu berubah menjadi seperti babi hutan yang hitam, maka Rasulullah s.a.w pun bertanya kepada pemuda itu, “Wahai orang muda, apakah yang telah dilakukan oleh ayahmu sewaktu dia di dunia dulu?”


Berkata orang muda itu, “Sebenarnya ayahku ini tidak mahu mengerjakan solat.”

Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda, “Wahai para sahabatku, lihatlah keadaan orang yang meninggalkan sembahyang. Di hari kiamat nanti akan dibangkitkan oleh Allah s.w.t  seperti babi hutan yang hitam.”

Di zaman Abu Bakar r.a ada seorang lelaki yang meninggal dunia dan sewaktu mereka menyembahyanginya tiba-tiba kain kapan itu bergerak. Apabila mereka membuka kain kapan itu mereka melihat ada seekor ular sedang membelit leher mayat tersebut serta memakan daging dan menghisap darah mayat itu.

Lalu mereka cuba membunuh ular itu. Apabila mereka cuba untuk membunuh ular itu, maka berkata ular tersebut, “Laa ilaaha illallahu Muhammadu Rasulullah, mengapakah kamu semua hendak membunuh aku? Aku tidak berdosa dan aku tidak bersalah. Allah s.w.t yang memerintahkan kepadaku supaya menyeksanya sehingga sampai hari kiamat.”


Lalu para sahabat bertanya, “Apakah kesalahan yang telah dilakukan oleh mayat ini?”

Berkata ular, “Dia telah melakukan tiga kesalahan, di antaranya :

-         Apabila dia mendengar azan, dia tidak mahu datang untuk sembahyang berjemaah.
-          Dia tidak keluarkan zakat hartanya.
-          Dia tidak mahu mendengar nasihat para ulama.

Maka inilah balasannya….Wallahualam