...tak secantik Balqis, tak setulus Zulaikha, tak sekuat Siti Hajar dan tak semulia Siti Khadijah...

Bersama air mata pasti ada senyuman. Bersama kesedihan ada kegembiraan. Bersama cubaan ada anugerah. Bersama musibah ada anugerah. Semuanya telah merupakan ketentuan yang pasti dan prinsip hidup yang digariskan Allah s.w.t.

Indahnya! Ukhwah Tercipta kerana Allah s.w.t, Jazakumullah Khairan Kathira

Ahad, 14 Oktober 2012

Bersederhanalah Dalam Bercinta

CINTA ada kala memberikan kita KEKUATAN. Namun, andai disalahguna, boleh menjatuhkan kita. Yakinlah bahawa bukan cinta itu yang SALAH. Tapi kita yang gagal memahami ERTI CINTA SEBENAR. Kita yang gagal menguruskannya.

BENAR, perasaan CINTA adalah FITRAH. Tidak kira sama ada manusia atau sesiapa selagi termasuk dalam golongan makhluk yang bernyawa. Rasa cinta itu tidak hanya tercipta dalam kalangan manusia sahaja. Bahkan haiwan juga mempunyai rasa cinta yang tersendiri. Cara bagaimana ia diluahkan dan dinyatakan, mereka punya tabii tersendiri. Apa yang penting, rasa cinta itu tetap WUJUD walaupun kepada seekor haiwan. 

Rasa cinta telah wujud lama tetap SUCI dan ABADI. Bahkan TIDAK AKAN HILANG selama-lamanya sehingga akhir masa. Rasa cinta itu adalah sesuatu yang kekal. Siapakah yang boleh menghalang perasaan cinta? Sesungguhnya, perasaan cinta itu dimiliki oleh setiap insan. Tidak kira peringkat usia. Sama ada dia adalah seorang kanak-kanak, dewasa atau orang yang telah tua usianya. Perasaan INGIN BERCINTA dan DICINTAI itu tetap ada.

Dan, tidak menjadi kesalahan memiliki rasa cinta ini. Sebagai seorang insan biasa, ia adalah fitrah. Tetapi, kita perlu punya KEKUATAN untuk MENGAWAL perasaan itu agar tidak menimbulkan fitnah dan masalah pada kemudian hari. 

Ya, BERCINTALAH! Kita LAYAK untuk mencintai apa sahaja yang dibenarkan syarak. Bercintalah dengan rumahtangga, anak-anak, suami atau isteri. Tapi, ingat! Jangan sesekali cinta kepada semua itu MELEBIHI DARIPADA CINTA kita kepada ALLAH dan RASULULLAH.

CINTA kepada ALLAH dan RASULULLAH adalah KEMUNCAK SEGALA CINTA. Para sahabat dan kaum Muslimin terdahulu telah melaluinya. Mereka telah mengharungi pelbagai ujian semata-mata untuk MEMBUKTIKAN bahawa cinta yang dua itu adalah cinta yang TERAGUNG. Ahli keluarga, harta kemewahan dan perhiasan duniawi bukanlah penghalang untuk mereka menzahirkannya. Bukti yang mereka tunjukkan adalah DEMI CINTA SEJATI.


Tapi, ini bukanlah bermakna kita perlu membuang dunia dan perhiasannya semata-mata mencari akhirat. Cuma hanya sebagai nasihat agar kita SENANTIASA BERHATI-HATI dan BERSEDERHANA dalam cinta. 

Janganlah memberi cinta MELEBIHI HADNYA. Kelak kita yang akan dikecewakan. Begitu juga JANGAN MEMBENCI seseorang itu melebihi hadnya. Ada kala orang itu jugalah suatu hari nanti akan menjadi SAHABAT kita..

( Pesanan untuk abe..  أحبك حباً جماً )

Sabtu, 11 Februari 2012

Salam Penuh Cinta dan Sayang Buat Isteriku si Qurratul Ain...

Selautan limpahan syukur yang tidak terucap buat Pemilik Segala Cinta Allah Azza Wajalla, kerana dengan sifat Rahman dan Rahim-Nya, kita berdua akhirnya diizinkan untuk bersatu di bawah lembayung cinta-Nya melalui akad nikah yang penuh suci dan bersejarah.

Terzahir jua rahsia jodoh terbaik yang hanya tersembunyi di antara diri kita dengan Allah SWT.

Alhamdulillah, termeterai sudah ikatan sah mawaddah warrahmah yang selama ini kita pagarkan dengan benteng syariat, yang kita bajakan dengan benih khasyatullah dan yang kita siramkan dengan hujan zikrullah.

Harap-harap hubungan kita yang terjaga sebelum ini disinari dengan mentari ketenangan, kebahagiaan, kelapangan hati dan jiwa dalam melayari bahtera rumahtangga yang kita bina...hadiah pertolongan daripada Allah SWT buat hamba-hamba-Nya yang bertakwa.

Juga membuahkan zuriat-zuriat yang soleh dan solehah sebagai pewaris kesinambungan perjuangan ummah Islam. Terima kasih yang tidak terhingga juga kuucapkan buatmu kerana sudi menerima diriku sebagai tempat berteduh buat dirimu. Syukran, syukran, syukran wahai si manisku.

Isteriku sayang, belahan hati abang...

Pertama-tamanya, izinkan untukku berterus-terang kala ini. Sayang...walau betapa tingginya pandanganmu padaku, walau betapa hormatnya hatimu padaku tapi hakikatnya sayang, suamimu ini sebenarnya bukanlah Sayidina Muhammad SAW dan dirimu pula bukanlah Sayidatina Khadijah, bukanlah aku ini Sayidina Ali Karramallahu Wajhah dan bukanlah pula dirimu itu Sayidatina Fatimah al-Zahra, bukanlah aku ini Sayidina Ibrahim Khalilullah dan bukanlah pula dirimu itu Sayidatina Hajar.

Aku bukanlah mereka dan bukan sesiapa jua yang terlalu sempurna lantas mengharapkan pendamping hidup ini yang sedemikian juga. Cuma, di dalam selautan Rahmat dan Rahim-Nya yang Maha Luas, aku mengharapkan serpihan-serpihannya di bawah janji-Nya yang benar: 

"...Dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik." 
(Surah al-Nur: 26)

Puas sudah ku menjaga diri dan mengislah jiwa setakat termampu, dengan harapan insan biasa di akhir zaman persisku ini dianugerahi wanita qurratul 'ain - penyejuk mata dan hati sebagai peneman setia dalam kembara hidup mencari setitis cinta Illahi ini. 

Sesungguhnya janji Allah SWT itu benar. Kepada Allah SWT jua kurafakkan syukur dan kepada Allah SWT jua kuserahkan nilaian-Nya terhadap dirimu yang sebenar, kerana manusia yang buta basirohnya sepertiku hanya suka menghukum dengan mata zahir.

Allah SWT yang sebenarnya memiliki, memegang dan menguasai hatimu. Sesungguhnya Allah SWT adalah sebaik-baik Penilai.

Moga-moga Allah SWT merahmati detik-detik kita menganyam cinta di tikar hari-hari bahagia seterusnya dan memberkati bilah-bilah usia berumahtangga kita. 

Ku akhiri lembaran warkahku ini dengan belaian kalimah cinta yang penuh muluk dan romantis buatmu. Uhibbuki fillah hubban jamma ya Qurratul 'Aini...

Yang menyintaimu penuh syahdu,
Suamimu